Thursday, 20 December 2012

Khasiat Madu Dan Halia



Madu
Madu mempunyai banyak khasiat yang dapat
menyembuhkan pelbagai jenis panyakit. Selain itu madu jugak mengandungi zat zat penting yang diperlukan oleh tubuh badan untuk meningkatkan stamina. Madu sesuai untuk tubuh badan kerana ian mempunyai zat seperti:

a) kabohidrat, protein, asid amino, vitamin dan mineral yang mudah diserap oleh sel sel badan.
b) kandungan sumber antibodi didalam madu berupaya melawan dan membunuh kuman daripada segala jenis penyakit berjangkit.
c) asid amino dalam madu boleh meningkatkan fungsi dan tugas otak.

Halia
Halia dapat meningkatkan metabolism darah kebahagian organ organ badan yang lain. Aroma halia yang sememangnya merangsangkan kerana berbau harum. Secara tradisionalnya halia ini dapat menyembuhkan beberapa gejala seperti kurang selera makan, kening kepala, sakit sakit sendi, kegatalan pada badan dan bengkak bengkak. Disamping itu halia juga berkhasiat untuk menghangatkan tubuh badan dan membantu proses pencernaan makanan dalam badan. Apa yang lebih penting ialah halia dapat meningkatkan nafsu syahwat dan boleh membuang angin dalam badan.

Tuesday, 29 May 2012

Antara dunia siber dan realiti

Oleh MOHD. NAHAR MOHD ARSHAD

GENERASI digital atau generasi Y merupakan mereka yang sedang meningkat remaja sekarang. Meskipun tiada satu definisi tetap untuk generasi ini, namun menurut satu rujukan, mereka merupakan kumpulan yang dilahirkan dari tahun 1980 sehinggalah sekarang.

Generasi ini unik kerana mereka merupakan entiti yang hidup di dunia realiti dan menjalankan peranan aktif dalam dunia siber.

Satu kebimbangan wujud terhadap psikologi dan corak kehidupan generasi ini. Ini kerana mereka merupakan generasi yang paling terdedah dengan dunia digital.

Golongan remaja sekarang merupakan generasi pertama seumpamanya yang membesar dan dibesarkan dalam dunia digital. Komputer, televisyen, permainan video, Internet, telefon bimbit dan segala macam peralatan digital dan telekomunikasi menjadi sebahagian dari dunia mereka.

Berikutan betapa besarnya peranan digital dan telekomunikasi dalam generasi ini, persoalan berkaitan cara mereka berfikir, belajar, bertindak dan berinteraksi semakin menjadi perhatian. Hakikatnya, sememangnya terdapat jurang perbezaan antara generasi Y dan generasi sebelumnya. Apakah implikasi yang akan terbit daripada kesemua ini terutamanya terhadap isu nilai dalam sesebuah masyarakat?

Salah satu kesan yang paling membimbangkan ialah dari aspek mental akibat daripada masalah kemurungan. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menjangkakan sehingga tahun 2020, masalah berkaitan mental akan menjadi masalah kedua terbesar yang mengakibatkan ketidakupayaan seseorang.

Antara puncanya ialah akibat pendedahan keterlaluan terhadap dunia digital sehingga seseorang itu tidak lagi berpijak di bumi nyata atau dunia realiti yang sebenar.

Satu kajian menganggarkan bahawa anak-anak remaja menghabiskan selama 40 jam seminggu di hadapan peralatan digital seperti komputer, televisyen, telefon bimbit dan iPod. Pasti semua ini ada kesan positif dan negatifnya terhadap diri dan kehidupan mereka.


Menjejaskan

Menghabiskan masa berjam-jam di hadapan skrin komputer dan televisyen selain menjejaskan pertimbangan mental, juga membawa kepada obesiti, dan penyakit antisosial yang meruncing.

Justeru, istirahat dan riadah merupakan dua perkara yang tidak boleh dipandang remeh. Seseorang perlu mencari masa untuk ‘sedar’ dan seterusnya menghayati kewujudan alam realiti sebenarnya.

Bagi mencari keseimbangan, terdapat beberapa perkara yang dapat kita lakukan. Membaca al-Quran dan hadis-hadis Nabi s.a.w adalah terapi terbaik.

Selain itu, menutup televisyen dan komputer pada jam-jam tertentu dan ‘mendengarkan’ kesunyian adalah satu kaedah yang boleh dicuba. Meninggalkan telefon bimbit apabila menghadiri majlis-majlis agama atau sosial juga merupakan tertib yang patut diambil berat.

Alangkah kurang bertimbang rasanya apabila telefon bimbit berbunyi tatkala khatib sedang berkhutbah atau jemaah sedang bersembahyang. Fikirkanlah!

Kadangkala, mengasingkan diri daripada radio, televisyen, komputer dan telefon bimbit untuk satu hari tertentu boleh menjadikan hidup kita lebih bermakna.

Untuk mencapai keseimbangan ini, perhatian serius ibu bapa, pendidik dan masyarakat amatlah penting. Kita tidak seharusnya membiarkan generasi muda kita khayal dan leka serta terlalu tertumpu pada dunia virtual sahaja. Mereka juga perlu dididik tentang tatacara hidup di alam realiti.

Diet Rendah Glisemik

OBESITI adalah satu masalah yang serius. Sembilan daripada 10 orang dewasa manakala dua pertiga daripada populasi kanak-kanak di dunia diramalkan bakal mengalami obesiti serius menjelang tahun 2050.

Pada dasarnya, obesiti berpunca daripada gaya pemakanan atau diet yang tinggi kandungan gula dan karbohidrat yang telah diproses. Faktor ini merupakan pendorong utama kepada masalah berat badan berbanding pengambilan makanan berlemak.

Andainya pihak kerajaan serius untuk mengurangkan jumlah keseluruhan pengumpulan glisemik atau GL dalam diet kita seperti yang dibuktikan oleh sains, kita perlu mengurangkan pengambilan gula dan perlunya label pada makanan. Lihatlah kenyataan ini. Bukan lemak yang mendorong epidemik obesiti tetapi gula, karbohidrat proses dan makanan berkanji.

Dengan mengehadkan pengambilan bahan-bahan ini dan memilih makanan rendah GL yang tidak diproses boleh membantu proses pengurangan berat badan. Nasihat paling teruk yang pernah anda terima sudah tentunya ialah ‘kurangkan pengambilan lemak.

Kajian yang dipetik daripada Cochrane Database of Systematic Reviews telah membandingkan hasil penemuan enam ujian rekaan khas yang menunjukkan perbezaan antara diet konvensional dengan diet rendah GL berdasarkan pengurangan kalori.

Jisim badan, jumlah keseluruhan jisim lemak, indeks jisim tubuh (BMI), jumlah kolesterol baik dan kolesterol buruk menunjukkan pengurangan signifikan dalam kumpulan yang menerima diet yang dikawal sumber kalorinya.

GL adalah berbeza daripada GI. GL adalah ukuran tepat mengenai berapa banyak makanan yang meningkatkan kandungan gula dalam darah dan betapa pantasnya gula tersebut dibebaskan dalam makanan. Ia juga menunjukkan jumlah kandungan gula dalam makanan dan itulah kuantiti ‘karbohidrat bersih’ sebagaimana yang ditekankan dalam diet Atkins.

Anda perlu mengehadkan pengambilan harian sehingga tiga hidangan 10 GL dan dua hidangan snek 5 GL untuk melangsingkan badan.

Pengambilan makanan yang betul secara kerap boleh membantu mengekalkan kandungan gula dalam darah pada tahap yang seimbang. Justeru, inilah kunci kepada kejayaan mengurangkan berat badan.

Hidangan makanan yang berGL boleh terus dikurangkan menerusi pengambilan protein dan karbohidrat. Dengan mengambil sebiji epal apabila anda lapar atau bersama beberapa biji badam sudah memadai.

Waspada ancaman internet

Oleh KHAIRUL ANUAR ABD. RAHMAN

Bagaimana untuk melindungi diri dan keluarga daripada ancaman yang dibawa internet?

INTERNET telah membuka sebuah dunia dengan peluang baru. Ia begitu sebati dengan kehidupan seharian kita sehinggakan mustahil untuk dibayangkan sebuah kehidupan tanpanya.

Pergantungan manusia terhadap komputer, peranti komunikasi dan perkhidmatan yang menghubungkannya memang tidak dapat dipersoalkan lagi. Angka komputer tempat kerja di dunia hari ini telah mencecah lebih 100 juta. Organisasi dan pekerja memerlukan komputer bagi tujuan integrasi bagi memudahkan akses kepada informasi.

Di Malaysia secara khususnya, statistik menunjukkan peningkatan pengguna internet yang drastik sejak tahun 2000. Pada tahun 2007, pertumbuhan penggunaan internet telah meningkat sebanyak 303.9 peratus dari tahun 2000.

Dengan peningkatan ini, tidak hairanlah jika kes berprofil tinggi seperti kecurian identiti dan virus komputer telah membawa kepada kebimbangan orang ramai terhadap tahap keselamatan dunia internet.

Bagi memastikan pengalaman melayari internet yang lebih selamat, ibu bapa dan anak-anak perlu memahami risiko dan ancaman yang wujud di internet sentiasa berubah dan berevolusi selari dengan perubahan teknologi.

Perkhabaran baiknya ialah kebanyakan ancaman yang wujud boleh dielakkan. Malah, terdapat juga penyelesaian secara teknologi dan perilaku untuk pelbagai jenis risiko dan ancaman.

Selepas semua ini difahami, langkah seterusnya ialah untuk menyiapkan diri dengan kaedah pertahanan yang tepat dan mencukupi terhadap ancaman yang wujud. Tiga pecahan kaedah yang boleh diguna pakai ialah:

Lindungi diri

Sebelum anda memuat turun sebarang fail, sama ada dengan cara mengklik pada pautan daripada emel atau daripada laman web, pastikan ia daripada sumber yang dipercayai. Fail yang dimuat turun boleh menjadi medium kepada kandungan berbahaya seperti malware dan spyware.

Seperti yang pernah diingatkan sebelum ini, penting untuk menggunakan kata laluan yang sukar diteka. Gunakan kata laluan yang mempunyai sekurang-kurangnya lapan aksara dan mempunyai kombinasi huruf kecil, huruf besar, nombor dan simbol.

Elakkan daripada membuka emel daripada penghantar yang tidak dikenali, apatah jika ia mempunyai subjek yang menarik seperti , 'Tahniah!, anda baru sahaja memenangi…' atau yang meminta bantuan untuk menjadi pemegang amanah kepada harta jutaan ringgit kerana negaranya dilanda perang.

Uruskan maklumat peribadi anda dengan teliti dan berhati-hati. Apabila anda membeli-belah atau membuat pembayaran secara online, pastikan anda membaca polisi syarikat tersebut sebelum meneruskan urusniaga bagi memahami sepenuhnya bagaimana mereka akan menguruskan maklumat peribadi pelanggan.

Pastikan juga penggunaan borang dalam talian untuk sebarang pembelian dan jangan sekali-kali menghantar butiran kad kredit atau maklumat kewangan anda melalui emel. Sebelum meneruskan sebarang transaksi yang melibatkan wang, pastikan laman web yang anda lawati itu mempunyai alamat yang bermula dengan https dan ikon mangga pada bahagian bawah browser, yang menunjukkan laman tersebut selamat.

Lindungi keluarga

Adalah penting untuk ibu bapa mengetahui apa yang dilakukan oleh anak-anak mereka dalam ruang internet sama ada berbual bersama teman, mempunyai jaringan sosial ataupun blog sendiri. Namun, adalah penting untuk melakukan ini tanpa menceroboh hak privasi mereka.

Kunci kepada ini semua ialah dengan mengadakan perbincangan secara terbuka dengan anak-anak bagi memahami apa yang mereka lakukan dalam talian. Ketahui laman web yang sering mereka lawati dan siapa teman mereka. Pada masa yang sama, tetapkan peraturan penggunaan internet.

Bincangkan tentang aktiviti dan tanamkan disiplin agar mereka tidak meletakkan maklumat sensitif di internet. Selain itu, sebagai langkah tambahan, penggunaan aplikasi penapisan web seperti BlueCoat K9 Web Protection boleh didapati secara percuma. Ini dapat mengelakkan anak-anak melawat laman web yang tidak sepatutnya.

Lindungi komputer

Jenayah siber semakin meningkat setiap hari. Komputer di rumah telah diambil alih bagi mencuri identiti empunyanya. Laman web yang tidak dilindungi dengan betul juga telah diubah menjadi tempat untuk melancarkan aktiviti spam dan penipuan internet.

Langkah pertama melindungi komputer ialah dengan mengaktifkan aplikasi firewall. Firewall membantu menguruskan maklumat yang memasuki dan meninggalkan komputer daripada internet.

Pastikan komputer dilengkapi dengan aplikasi antivirus terbaru dan perisian antispyware. Antivirus melindungi komputer daripada ancaman virus dan program berbahaya yang lain, manakala antispyware melindungi komputer daripada pop-up dan ancaman sekuriti lain yang sering menyebabkan kelembapan pada operasi komputer.

Akhir sekali, aplikasi perlindungan ini harus dikemaskini pada kadar yang kerap. Ini bagi memastikan komputer dilindungi dengan perlindungan terkini sekali gus mengurangkan risiko terhadap komputer kesayangan anda!

Diet untuk si darah B


Percayakah anda dengan diet yang dianjurkan mengikut jenis darah? Jika anda pemilik darah B, artikel ini mungkin boleh membantu.

KITA pernah mendengar pelbagai jenis diet yang dipraktikan di luar negara - daripada diet Atkins, diet rendah kalori hinggalah diet organik. Semua atas satu tujuan iaitu untuk mendapatkan tahap kesihatan yang paling unggul.

Tetapi pernahkah anda mendengar diet mengikut jenis darah? Ia adalah di antara diet yang semakin popular sejak kebelakangan ini. Populariti yang diraih oleh salah satu jenis diet ini bukanlah hanya kerana jumlah pengamalnya yang semakin meningkat tetapi kepelbagaian pertikaian tentang kebenaran diet tersebut oleh pakar pemakanan lain.

Namun begitu, yang pasti berdasarkan pelbagai testimoni orang ramai dan keinginan untuk mencuba diet itu, buku nukilan pakar perubatan naturopati, Dr. Peter J. D'Adamo, telah terjual lebih tiga juta naskhah di seluruh dunia.

Menerusi buku bertajuk Eat Right For Your Thype, D'Adamo percaya jenis darah mempengaruhi sistem pencernaan dan sesetengah makanan tidak baik kepada sesetengah jenis darah.

Malah, D'Adamo juga yakin bahawa jenis darah menentukan kemungkinan jenis-jenis penyakit yang mudah dihidapi oleh seseorang selain senaman yang sesuai.

Lantaran itu katanya, seseorang perlu mengamalkan jenis diet tertentu atau berbeza mengikut jenis darahnya. "Pengaturan pola pemakanan yang betul akan meningkatkan sistem imun tubuh, mengekalkan kecergasan dan tahap kesihatan," katanya.

Memetik kata salah seorang pengamal diet mengikut jenis darah itu yang hanya dikenali sebagai Andari dalam blognya, "Saya sendiri seorang pakar teknologi pemakanan yang sangat skeptikal dengan teori dan kaedah D'Adamo ini. Saya hanya mula membeli buku dan mengamalkan diet ini selepas seorang rakan saya yang sebelum ini mempunyai asma teruk sehingga terpaksa tidur duduk, kini sudah semakin sihat sejak mencuba teknik diet ini.

"Selepas mencuba teknik ini, saya yang mudah mengantuk sewaktu bekerja sebelum ini berasa lebih cergas dan segar," kata Andari.


Apakah cadangan D'Adamo untuk pemilik tubuh darah B?

Menurut D'Adamo, individu dalam kumpulan darah B digelar sebagai The Nomad. Gelaran itu dikaitkan dengan sistem imun yang kuat dan sistem pencernaan yang fleksibel.

Dalam diet mengikut jenis darah, hanya mereka dalam kumpulan darah B yang mendapat manfaat paling baik dengan produk tenusu. Tetapi tegasnya, orang berdarah B perlu meninggalkan ayam dan itik kerana ia kaya dengan sejenis lektin dalam otot tisunya yang menyerang aliran sistem darah dan berpotensi meningkatkan risiko strok selain mengganggu sistem imun.

Memanjat sebuah doa

Hampir setiap umat Islam berdoa kepada Allah. Tapi apabila doa tidak dimakbulkan-NYA, adakah wajar kita berputus asa?

PERKATAAN doa banyak terdapat dalam al-Quran dalam pelbagai pengertian. Doa merupakan satu ibadah. Firman Allah : "Dan janganlah kamu berdoa kepada selain Allah, iaitu kepada sesuatu yang tidak dapat mendatangkan manfaat kepada engkau dan tidak kuasa pula mendatangkan mudarat kepada engkau"- surah Yunus: 106.

Doa bererti permohonan seorang hamba kepada Tuhannya. Allah menyuruh setiap orang berdoa kepadanya. Allah memberi janji bahawa Dia akan memperkenankan setiap doa.

Sama ada makbul doa itu diberi cepat atau lambat atau diberi di dunia atau di akhirat, manusia tidak akan tahu tentangnya. Doa yang makbul bergantung kepada setakat mana akrabnya seseorang itu kepada Allah. Semakin akrab seseorang kepada Allah, maka makin mudahlah doa hamba berkenaan diperkenankan.

Membina hubungan akrab inilah menjadi cabaran terbesar kepada seseorang kerana banyak disiplin dan rutin perlu diikuti.

Bak kata pepatah 'hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih' iaitu setiap azam dan kemahuan pasti ada jalan terbentang di hadapannya. Oleh itu, doa dan ikhtiar wajar dijadikan sumber kekuatan sama seperti fungsi roh dengan jasad pada diri manusia.

Ibnu Athaillah as-Sakandari mengingatkan kepada kita agar terus berdoa. Kenapa beliau berkata demikian? Kerana nafsu seringkali muncul ketika Allah menunda permintaan atau mengkabulkan doa kita.

Dalam keadaan demikian seringkali berputus asa dan merasa bahawa doanya tidak dikabulkan. Sikap putus asa itu disebabkan kerana kita rasa terlalu yakin akan dikabulkan tetapi hakikatnya adalah milik Allah.

Apakah setiap doa akan dikabulkan?

Pertanyaan ini akan terjawab apabila kita memahami apa yang disebut doa dan hakikatnya. Tidak harus berhenti daripada kesungguhan berdoa, dan tidak berpaling dari-Nya kerana lambat masa diperkenankan.

Juga jangan mengherdik sambil melontarkan kalimah-kalimah marah berupa bantahan ke atas rasa tidak puas hati. Tatkala Allah berfirman, pastilah ada harapan untuk mendapat hajat tersebut.

Dan Tuhan kamu berfirman: "Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takabur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahanam dalam keadaan hina"- surah al-Mu'min: 60

Bersangka baik terhadap Allah adalah di antara prasyarat kepada kejayaan dalam berdoa. Memang kekecewaan akan terbuku di hati jika apa yang kita pohon belum lagi menjelma sedangkan masa terus beredar. Barangkali renungan ini dapat membantu meleraikan resah kita.

Firman Allah yang bermaksud: "Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanKu (dengan mematuhi perintahKu) dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul'" - surah al-Baqarah: 186.

Kaum terdahulu telah keluar daripada sengsara dan derita kerana doa mereka diperkenankan Allah. Firman Allah yang bermaksud: "Atau siapakah yang memperkenankan doa orang yang menderita apabila ia berdoa kepada-Nya, dan yang menghapuskan kesusahan, serta menjadikan kamu pengganti (umat-umat yang telah lalu) mendiami dan menguasai bumi? Adakah sebarang Tuhan yang lain bersama-sama Allah? Amat sedikit di antara kamu yang mengingati (nikmat Allah itu)" - surah an-Naml: 62.

Allah tidak akan menghampakan permohonan dan permintaan hamba-Nya lebih-lebih lagi yang beriman dan beramal soleh kerana Allah sangat dekat kepada setiap hamba-hamba-Nya. "Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan (dengan suara) perlahan. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas." - surah al-A'raf:55.

Orang yang berputus asa akan berkata: "Allah tidak memakbulkan doa aku." Tetapi ingat, Allah menjamin doa yang dimohon akan dikabulkan. Konsep doa yang dikabulkan juga harus difahami supaya kita faham benar bagaimana doa itu berfungsi.

Ada kalanya doa yang kita minta diberi ketika di dunia sementara yang lainnya tidak. Jika yang dimohon sesuai dengan kehendak-Nya, maka akan diberikannya segera, tetapi jika permohonannya tidak seiring dengan kehendak-Nya maka sebagai ganti, Dia akan memberikan sesuai dengan kehendak-Nya sebagai pilihan yang tepat.

Dalam hadis Rasulullah bersabda : "Tidak seorang pun pendoa, melainkan ia berada di antara salah satu dari tiga kelompok ini: Kadangkala ia dipercepat sesuai dengan permintaannya, atau ditunda (pengabulannya) demi pahalanya, atau ia dihindarkan daripada keburukan yang menimpanya." - hadis riwayat Imam Ahmad dan Al-Hakim.

Oleh: Dr Amaludin Ab. Rahman

Adakah buah pinggang anda sihat?

KAJIAN di Amerika Syarikat (AS) menunjukkan 10 peratus daripada golongan dewasa mempunyai masalah kerosakan buah pinggang dan mereka juga tidak tahu mengenainya.

Ujian saringan mudah di mana-mana klinik atau hospital dapat menunjukkan jika anda salah seorang daripada mereka.

Thangachiammah M. Muthoo 51, tidak tahu bahawa dia mengalami diabetes dan gejala tersebut perlahan-lahan merosakkan buah pinggangnya. Dia menerima rawatan dialisis di Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan (NKF) sejak enam tahun lalu.

Aris Said, 53, pula merupakan pesakit dialisis di NKF sejak beberapa tahun lalu dan sebelum ini tidak tahu bahawa dia mempunyai tekanan darah tinggi dan diabetes. Dia juga tidak menyedarinya kerana dia berasa sihat, sehinggalah suatu hari kedua-dua belah buah pinggangnya berhenti berfungsi.

Shamsuddin Mohd Nor, 30, tidak pernah menyangka bahawa dia akan mendapat penyakit kronik ini. Dia sering mengalami sakit belakang yang berterusan. Ia merupakan penyakit buah pinggang kronik yang tidak diketahui puncanya. Dia terpaksa menerima rawatan dialisis sepanjang hayatnya.

Anda mungkin pernah mendengar cerita tentang individu-individu mengalami kegagalan buah pinggang secara tiba-tiba. Kenyataannya, buah pinggang mereka telah lama mengalami kerosakan tanpa disedari. Mereka mengalami kerosakan buah pinggang yang kronik, tiada tanda-tanda atau secara senyap, dan kadang-kala berkekalan selama bertahun-tahun lamanya. Bagaimanapun, apabila tiba masanya, gejala-gejala tersebut akan timbul tetapi pada masa itu, keadaan telah menjadi serius dan kerosakan yang terjadi tidak dapat dipulihkan lagi. Kebanyakan penapis kecil yang dipanggil nefron di dalam buah pinggang sudah rosak dan hanya tinggal beberapa nefron yang terpaksa bekerja keras untuk menapis darah. Tanpa rawatan, semua nefron akan musnah dan kerosakan buah pinggang kekal terjadi.

Tanda-tanda kerosakan buah pinggang:

* Kerap membuang air kencing terutamanya pada waktu malam, lama-kelamaan semakin berkurangan dan jumlah air kencing juga akan berkurangan

* Retensi (penakungan) air kencing menyebabkan kaki, buku lali serta mata bengkak

* Sering gatal di bahagian badan tanpa sebab yang nyata

* Air kencing yang berbuih kerana kehadiran protein

* Cepat letih dan mengantuk

* Kerap sakit kepala

* Mengalami masalah tidur

* Kurang selera makan dan penurunan berat badan

* Terasa seperti hendak muntah, loya

* Darah di dalam air kencing

Sebab-sebab kerosakan buah pinggang kronik (CKD)

Perunding Nefrologi dan Setiausaha Kehormat Lembaga Pengurusan NKF, Dr. Thiruventhiran Thilaganathan menyatakan buah pinggang adalah satu struktur yang agak rapuh dan perlu dilindungi daripada faktor-faktor yang boleh menyebabkan CKD.

“Kerosakan buah pinggang kronik boleh berpunca daripada beberapa masalah buah pinggang seperti buah pinggang polisistik, jangkitan buah pinggang, penyumbatan arteri renal (yang membekalkan darah kepada buah pinggang), penyumbatan di dalam salur kencing kerana batu karang atau ketumbuhan, penggunaan sesetengah ubat dalam jangka panjang dan kecacatan buah pinggang secara semulajadi.

“Tiga punca utama kerosakan buah pinggang di Malaysia adalah diabetes yang tidak terkawal (57 peratus daripadanya merupakan kes kerosakan buah pinggang kronik), sebab yang tidak diketahui (27 peratus) dan tekanan darah tinggi yang tidak terkawal (enam peratus),” katanya.

Diabetes adalah penyakit di mana konsentrasi gula di dalam darah adalah tinggi. Lama-kelamaan paras gula yang tinggi akan merosakkan buah pinggang dan menyebabkan keadaan yang dipanggil diabetes nefropati yang merupakan penyebab nombor satu kegagalan buah pinggang. Satu pertiga pesakit diabetes mengalami diabetes nefropati.

Tekanan darah tinggi (hipertensi) pula adalah situasi yang merujuk kepada tekanan kuat pada salur darah yang menolak dinding arteri. Tekanan darah tinggi kronik boleh menyebabkan kerosakan salur darah dan fungsi penapisan di dalam buah pinggang. Ini adalah berita buruk terutamanya kepada pesakit diabetes kerana 60 peratus daripada mereka akan mempunyai tekanan darah tinggi.

Masa untuk melakukan ujian!

Perunding Nefrologi dan ahli Lembaga Pengurusan NKF, Dr. Goh Bak Leong berkata, kira-kira 14 peratus golongan dewasa di Malaysia menghidap diabetes.

“Bilangan kes tekanan darah tinggi bagi orang dewasa yang berumur 30 tahun ke atas pula mencecah 42.6 peratus,” ujar beliau.

Menurutnya lagi, disebabkan kedua-dua diabetes dan hipertensi mungkin berlaku tanpa simptom, ramai rakyat Malaysia tidak tahu bahawa paras gula dalam darah mereka atau tekanan darah mereka tidak normal.

Tambahnya, mereka juga tidak tahu bahawa mereka mengalami kerosakan buah pinggang kronik atau pada tahap yang serius.

Timbalan Pengerusi Kedua dalam Lembaga Pengurusan NKF, Dr. Tan Chwee Choon pula menyatakan kegagalan buah pinggang perlu dikesan pada peringkat awal.

“Lebih awal anda mengetahui masalahnya, lebih cepat ia dapat dirawat bagi mengelakkan ia menjadi lebih teruk.

“Anda perlu berusaha menjaga buah pinggang anda dan mencegah dari terjadi kerosakan buah pinggang kronik,” jelasnya.

Pemeriksaan kesihatan Bergerak NKF Lifecheck telah memeriksa lebih 4,000 orang di Lembah Klang sejak ia mula dilancarkan pada Januari 2008.

Pengerusi Lembaga Pengurusan NKF, Dr S. S. Gill berkata NKF Lifecheck adalah sebahagian daripada program pendidikan komuniti dikenali sebagai ‘Kidney Care’.

“Bas bergerak NKF Lifecheck akan melawat syarikat-syarikat dan komuniti setiap hari bagi menawarkan ujian untuk mengesan protein di dalam urin (salah satu daripada tanda awal kerosakan buah pinggang kronik), paras gula yang tinggi dalam darah, tekanan darah tinggi, kolestrol darah yang tinggi dan ujian juga dilakukan dengan mengukur status berat badan.

“Peserta yang mengambil bahagian juga diberikan kaunseling oleh kakitangan yang berkelayakan sementara individu yang disyaki mempunyai kerosakan buah pinggang, diabetes atau tekanan darah tinggi akan dinasihatkan untuk berjumpa dengan doktor bagi mengetahui diagnosis dengan lebih tepat,” ujarnya.

Menurut beliau, ujian dan kaunseling dicaj sebanyak RM2 bagi setiap individu.

Perkhidmatan yang boleh dianggap percuma ini adalah hasil usahasama Sunway Group dan syarikat-syarikat yang mengambil berat mengenai kesihatan komuniti. Kerosakan buah pinggang kronik adalah penyakit serius. Hari buah pinggang sedunia pula baru sahaja berlalu dengan slogan “Adakah buah pinggang anda sihat?” Jika anda tidak tahu jawapannya, tanyalah kepada doktor anda hari ini.

Artikel ini ihsan NKF KIDNEY CARE, iaitu program pendidikan komuniti oleh Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan Malaysia (NKF) yang turut menawarkan subsidi rawatan dialisis dan ubat-ubatan percuma, ujian makmal, rawatan susulan dan memberi kebajikan kepada pesakit buah pinggang. NKF juga mengalu-alukan derma dari orang awam untuk memberi sokongan kepada pesakit buah pinggang. Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web www.nkf.org.my atau hubungi NKF Hotline 1300-88-3110.

Bacaan normal untuk buah pinggang yang sihat

* Gula dalam darah kurang dari 5.6 mmol/L (tidak berpuasa)

* Tekanan darah kurang dari 130/90 mmHg

* Ujian urin tiada protein, tiada gula, tiada darah

* Ukuran pinggang kurang dari 102 cm (lelaki), kurang dari 88 cm (wanita)

* Indeks berat badan Antara 18.5 -24.9 kg/m2